Khamis, 13 Mac 2008

Zikir bersih hati, sucikan jiwa Mukmin

Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

ALLAH menjelaskan sifat orang yang beriman dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat , mereka berpaling daripadanya”. (Al-Qasas, ayat 55)

Percakapan yang tidak berfaedah itu tidak mempunyai sebarang makna malah, tidak memberikan sedikitpun nilai tambah kepada hati, fikiran dan ilmu yang berfaedah. Hati seorang Mukmin sama sekali tidak lalai dengan hal yang tidak berguna itu. Bahkan hati mereka sentiasa sibuk dengan tuntutan iman tinggi dan mulia.

Dalam konteks yang lain, Allah mensifatkan keadaan mereka sebagai berikut dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya”. (Al-Furqan, ayat 72)

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa mereka sama sekali tidak memberi perhatian sedikitpun kepada hal seperti itu, kerana bagi setiap orang yang beriman mereka tidak ada lebih masa untuk dihabiskan kepada perkara tidak berfaedah itu. Justeru, antara faktor kejayaan Mukmin itu baik di dunia mahupun di akhirat ialah berpaling daripada perkara yang tidak berfaedah.

Hati orang yang beriman sentiasa sibuk dengan zikrullah atau mengingati Allah, menghayati keagungan dan kebesaran-Nya, melihat tanda kekuasaan Allah pada setiap ciptaan-Nya. Itu akan mendorong mereka untuk memenuhi segala tuntutan akidahnya dengan cara membersihkan hati, mensucikan jiwa, memurnikan sanubari, akhirnya terbentuklah peribadi mukmin, salih dan tidak pernah lupakan Allah.

Sekiranya kita tahu bahawa kemampuan kita sebagai manusia ini terbatas, sama ada ia digunakan untuk kebaikan, kejayaan dan ketinggian hidup atau sebaliknya dihabiskan untuk perkara tidak berfaedah, maka sebagai seorang yang beriman kepada Allah, tentu sekali akan didorong oleh akidahnya supaya berkorban untuk kepentingan dan kebaikan dirinya baik di dunia mahupun akhirat.

Dalam hal ini, Imam al-Ghazali, seorang sufi terkenal membahagikan perkataan atau percakapan itu kepada empat bahagian. Di mana bahagian yang terakhirnya ialah percakapan yang tidak ada kebaikan dan keburukan padanya atau perkataan yang tidak ada faedah dan tidak ada juga mudaratnya. Inilah dikatakan perbualan kosong.

Manusia yang paling banyak dosa pada Hari Kiamat nanti adalah orang yang paling banyak membicarakan hal tidak benar. Rasulullah pernah menjawab pertanyaan apabila ditanya apakah yang menyebabkan manusia banyak masuk neraka. Jawab Baginda: “Mulut dan kemaluan”.

Dan apabila ditanya pula sebaliknya, apakah yang boleh menyelamatkan mereka daripada neraka, lantas jawabnya: “Tahanlah lidahmu dan tangisilah kesalahanmu”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Renungan: Berkata seseorang kepada Umar bin Abdul Aziz: “Bilakah saya hendak bercakap? Katanya: Apabila kamu hendak diam. Dan ditanya pula: Bilakah saya hendak diam? Katanya: Apabila kamu hendak bercakap”.

Tiada ulasan: