Sabtu, 6 November 2010

Rahsia Solat Dari Sudut Sains Dan Kesihatan


Hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:

AKTIVITI OTOT - Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

ISYARAT OTAK - Ng Siew Chok

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tomakninah," katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

KOMPOSISI TUBUH - Dr Fatimah Ibrahim

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain," katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal," katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Promosi Maksiat Dan Buka Aib Sendiri

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan perlakuan di dalam kehidupan sehariannya.

Jika dia memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan.

Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan.

Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka.

Jika ia pahala, alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa.

Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada 'Kabair' (dosa besar) akibatnya.

Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil.

Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki atau wanita di dalam siri drama, filem, iklan, hatta berita.

Dosa kecil juga boleh berlaku sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, televisyen dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai televisyen walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya.

Jika tiada televisyen, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam.

Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya 'box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonisme Barat dan Yahudi Zionis.

Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini.

Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa (berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

Dosa kecil yang membesar dan berganda

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain.

Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.

Bilakah itu?

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita.

Atau lebih teruk lagi dipamerkan di Facebook sebagai filem (movies) yang diminati, drama disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur-baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi Al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita pada rancangan televisyen atau movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti 'Desparate Housewives', 'Friends', 'Pretty Women', 'Notting Hill', 'Kuch Kuch Hota Hai', 'HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil.

Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain.

Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat.

Bukan sekadar movie sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai 'like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK.

Sebagaimana drama-drama bermesej Islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat.

Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati.

Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

  • Ketika sedang minum arak.
  • Hadiri parti penuh maksiat.
  • Hadiri majlis dosa.
  • Sedang berpelukan lelaki wanita.
  • Bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram. (Walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)

Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri.

Nabi s.a.w memberi ingatan :

Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini.." maka terhapuslah tutupan tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya. - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Sembunyikan dan Taubat

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, ata melakukan maksiat secara fizikal seperti zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah.

Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayahuntuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya'.

Justeru, jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN.

Ia bukan hipokrit! Tetapi ia dituntut oleh Allah dan rasul-Nya dan usahakan bertaubat.

Hipokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya.

Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik.

Rasulullah bersabda :

"Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah."

[Dikeluarkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syeikh (Al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh Al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor yang diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahu ihukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan.

Di dalam sebuah lagi hadis disebutkan :-

Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : "Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar dosa ini?" Lalu jawab lelaki itu: "Ya Wahai Tuhan.." dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : "Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya." - Riwayat Al-Bukhari

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

Kesimpulan

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah.

Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Rujukan : I Luv Islam.Com

Mengapa Harus Bersedih?

Allah benar janji-Nya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala.

Kalau kita ukur - banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah beri kepada kita.

Firman Allah:

"Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya." - (Ibrahim 14:34)

Mata, telinga, mulut, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang yang sekitarmu. Apa yang kurang? Tidak ada apa yang kurang, saudara. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.

Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita? Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik? Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil.

Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.

Firman Allah:

"Jangan takut, jangan berdukacita." - (Al-Ankabut 29:33)

Kadang-kadang manusia merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa. Masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya. Maka dia bersedih, dia berdukacita, jiwanya tertekan.

Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah? Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah. Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidal layak untuk hidup di dunia ini.

Masalah yang besar yang tetap akan kita hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu menekan. Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melawan, dan sebagainya. Saudara, bukankah itu mengajak kita berusaha berjihad mendidiknya?! Dan setiap didikan kita kepada anak kita akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Lantas berusahalah untuk mendidiknya, mengajarnya, mengasuhnya, dengan cara yang terbaik.

Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan, dengan iblis? Syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan, syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan maksiat. Itu masalah yang besar. Sebab itu mujahadatun-nafs -- melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.

Iblis bersumpah dengan Allah SWT bahawa dia akan mengganggu Bani Adam, dia akan menggoda Bani Adam, dia akan menyesatkan Bani Adam. Mereka akan berusaha melakukan itu secara berterusan, sejak kita kecil, dewasa hingga kembali kepada Allah SWT. Ini masalah yang perlu kita hadapi. Adapun selain daripada itu anggaplah ia asam garam kehidupan.

Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita. Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.

Yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah jua yang menentukan.

Rujukan : I Luv Islam.Com

Sabtu, 5 Jun 2010

Bertemu Kembali

Assalamualaikum..
Sudah hampir setahun (Julai 2009) tidak mengaktifkan blog ini. Akibatnya, habis hilang semua email dan password. Terlalu banyak akaun yang dibuat, Insya Allah selepas daripada ini, saya akan dikemaskini semula.

Sekarang ini hangat dengan isu antarabangsa. Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza (Palestin). Sepertimana yang kita semua ketahui, Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa sedang dalam misi untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk palestin. Bantuan yang dibawa adalah sebanyak 10,000 tan. Memang banyak sangat tu. Cukup untuk penduduk palestin yang telah ditindas sejak 2007. Tetapi, Israel la'natullahi 'alaih telah merampas kapal dan barangan tersebut. Kesemuanya ada 9 buah kapal. Tetapi dari 9 buah kapal tersebut, kini ada 1 buah kapal lagi yang sedang dalam perjalanan meneruskan misi iaitu kapal Rachel Corrie. Kapal ini adalah tajaan Perdana Global Peace Organization (PGPO) sebuah NGO dari Malaysia yang di pengerusikan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia keempat.

Berita yang diperolehi sekarang adalah kapal Rachel Corrie yang sedang dalam perjalanan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini sedang diganggu oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF). Marilah sesama kita mendoakan semoga kapal ini berjaya dalam misinya. Diminta untuk kita semua mengamalkan bacaan Qunut Nazilah.

Jumpa lagi.
Sekian, harap maklum.